Pengendali skuad Kuala Lumpur City, Miroslav Kuljanac, mengambil langkah untuk tidak menghiraukan khabar angin berkaitan ketiadaan barisan pemain senior dalam skuad Kedah Darul Aman menjelang pertemuan Liga Super, Sabtu ini.
Dia sebaliknya percaya skuad Hijau Kuning memiliki rangka pelan tersendiri yang menjanjikan saingan sengit tanpa sewenang-wenangnya memberi laluan mudah buat pasukan Warga Kota itu mencuri tiga mata.
"Saya tidak beri perhatian kepada masalah dihadapi lawan, sebaliknya fokus kepada pasukan sendiri.
"Kami mengadakan persiapan untuk menyajikan aksi terbaik.
"Kami akan bermain di laman sendiri jadi saya harap pemain-pemain akan turun dengan mtoivasi tinggi," katanya ketika mengadakan sesi latihan di Kelana Jaya, hari ini.
Sementara itu, penyerang KL City, Haqimi Azim, turut enggan menganggap isu dalaman seteru dari utara berkenaan sebagai satu kelebihan buat pasukannya sambil mengambil kira kejutan yang mungkin berlaku.
Haqimi turut menjelaskan bahawa dirinya perlu kembali menyesuaikan diri dengan latihan bersama KL City yang agak berbeza dengan latihan skuad kebangsaan selepas Liga Super berehat tiga minggu.
"Kami tidak pandang mudah biarpun seperti yang ramai tahu, Kedah akan menurunkan skuad B-23.
"Kami perlu buat yang terbaik dan tidak pandang rendah keupayaan mereka," katanya pula.
Shaiful Shamsudin
Thu Sep 12 2024