Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak menyifatkan jentera serangan pasukannya semakin tajam selepas membantu melakar kemenangan kali keempat berturut-turut setakat ini.

Beliau mengakui gembira dengan kejayaan terbaru pemainnya menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-3 pada aksi kesembilan Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman pada malam Selasa.


Menurutnya, keserasian tinggi gandingan pemain di bahagian serangan musim ini dianggap lebih baik berbanding rangkaian penyerangnya musim lalu.

"Saya rasa cukup gembira apabila mendapat kemenangan kali keempat berturut-turut. Ini adalah perkembangan baik di jentera serangan yang mula menunjukkan keserasian melalui kombinasi yang baik.

"Serangan kami dilihat lebih baik pada musim ini berbanding musim lalu dan ianya ditambah dengan kehadiran penyerang, Herlison Caion dan inilah yang menyebabkan kami lebih meningkat pada musim ini," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanab tamat di Stadium Darul Aman pada malam Selasa.

Jelasnya, selain Caion, kehadiran penyerang berpengalaman Kipre Tchetche turut menambah kualiti jentera serangan pasukan tersebut.

"Ada pemain yang begitu cepat serasi dan ada juga yang mengambil masa untuk mencapai keserasian. Setiap pemain tetap akan memerlukan masa untuk mencapai tahap yang terbaik bersama pasukan," ujar beliau.

Bagaimanapun, menurut Bojan, masih ada lagi sisi kekurangan The City Boys yang perlu dibaiki selepas dua kali pintu gawangnya dibolosi KDA FC pada separuh masa pertama perlawanan.

"Dengan dibolosi dua gol seperti ini, ianya belum lagi sampai tahap yang terbaik dan kita tidak sepatutnya bolos kedua gol berkenaan.

"Kami berhadapan dengan kecederaan dua pemain di barisan pertahanan dan dibolosi dua gol, namun saya yakin dengan perkembangan yang ditunjukkan ini ianya akan menjadi lebih baik bagi perlawanan seterusnya," kata jurulatih berpengalaman tersebut.


kredit: Sinar Harian