Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan momentum kemenangan dalam saingan minggu keenam Liga Super 2024/2025 selepas menewaskan Terengganu 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), sebentar tadi.

Separuh masa pertama menyaksikan JDT mendahului Skuad Penyu 2-0 hasil jaringan awal daripada Heberty Fernandes dan Bergson da Silva melalui sepakan penalti selepas Ubaidullah Shamsul mengasari pemain JDT sekali gus dilayangkan kad merah.




Masuk separuh masa kedua, Bergson da Silva menambah koleksi jaringan peribadi bersama JDT selepas sepakannya memastikan skuad Harimau Selatan mendahului Terengganu 3-0 pada minit ke-64.

Walaupun Terengganu cuba mengawal perlawanan seketika dengan corak serangan balas tetapi sukar menembusi benteng pertahanan JDT yang kemas mengawal permainan.

Dalam pada itu, Bergson sekali lagi menjadi duri dalam daging selepas melengkapkan jaringan hatrik menewaskan Syed Nasrulhaq pada minit ke-90 sekali gus melengkapkan kemenangan bersih JDT dengan kemenangan 4-0.




JDT kekal di tangga teratas Liga Super 2024/2025 dengan mengumpul 18 mata selepas enam perlawanan dengan rekod JDT meraih kemenangan bersih tanpa sebarang kekalahan dalam saingan Liga Malaysia sejak September 2023.