Gol penyamaan Kedah Darul Aman FC pada minit akhir perlawanan agak mengecewakan ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad.
Baginya, Sri Pahang sepatutnya mendapat mata penuh tetapi peluang itu dinafikan lawan dan mereka terpaksa akur dengan hanya satu mata.
Menurutnya, keputusan itu diterima tanpa menyalahkan mana-mana pemain.
"Dalam aksi malam ini (Sabtu), pemain kami gagal memanfaatkan banyak peluang, terutama dalam babak pertama.
"Dalam aksi babak kedua pula, kami mengubah formasi dan corak persembahan. Ia nampak lebih baik dan kami berjaya mengawal permainan sebelum memperoleh gol hasil sepakan penalti yang disempurnakan Stefano Brundo pada minit ke-62.
"Peluang penalti kedua bukan rezeki Pahang apabila tendangan Lucas Silva tersasar," katanya selepas perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur itu.
Fandi berkata, Lukas Silva, yang turun buat kali pertama, banyak membantu Kpah Sherman di bahagian atas.
"Walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, pemain itu telah menunjukkan semangat juang tinggi pada perlawanan malam ini.
"Cuma mungkin dengan ketiadaan kapten pasukan, Sergio Aguero, dan Kevin Langbehn Ingreso, yang masih dibelenggu kecederaan, ia menyebabkan bahagian tengah kami agak longgar kerana biasanya dua pemain ini yang mendominasinya," katanya.
Fandi berkata, status kecederaan dua pemain itu agak serius dan tidak pasti bila mereka dapat kembali beraksi.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nafuzi Mohd Zain, berkata tempo dan rentak permainan ditunjukkan pemainnya ketika menentang Sri Pahang itu adalah yang terbaik setakat ini.
Menurutnya, secara keseluruhan semua bahagian bermain dengan baik dan berjaya mendominasi permainan dengan mencipta beberapa peluang, namun penyudahnya agak tumpul terutama pada babak pertama.
"Pemain kami tidak putus asa dari awal permainan sebelum berjaya jaringkan gol penyamaan yang amat penting pada minit akhir.
"Mujur sepakan penalti Sri Pahang yang kedua tersasar, kalau tidak sukar untuk kami menyamakan kedudukan," jelasnya.
Tambahnya, bermain dengan Sri Pahang bukan perlawanan mudah tetapi dua berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan pemainnya.
"Kami tiada masalah malam ini (Sabtu), pemain mampu bertahan dan mematahkan serangan lawan cuma down sikit lepas Pahang jaringkan gol," katanya.
Dalam perlawanan itu Sri Pahang dan Kedah sekadar seri 1-1.
Gol Pahang muncul pada minit ke-62 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain berjersi 15, Stefano Brundo.
Kedah yang ketinggalan meneruskan asakan dan berjaya mencipta gol penyamaan pada minit ke-93 hasil rembatan Jonathan Dos Reis.
Kredit: Sinar Harian
Sinar Harian
Sun Apr 02 2023