Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil, menganggap tiada masalah besar yang menjadi punca Selangor tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur City dalam saingan Liga Super di Cheras sebentar tadi.
Baginya, hanya butiran kecil menjadi penyebab kepada kekalahan itu dan ia perlu diperbaiki seandainya The Red Giants mahu menjadi pasukan terbaik.
"Apabila kita tewas, memang banyak perkara yang kita akan fikir, apa sahaja tidak betul.
"Kami cuba untuk mematikan perlawanan ini dalam babak pertama tetapi gagal menjaringkan gol dan dalam babak kedua, kami sudah menjangkakan mereka akan tampil dengan corak serangan balas seperti itu.
"Mereka memiliki pemain sayap yang pantas di bahagian tepi tetapi gol yang mereka dapat juga daripada salah faham hantaran pemain kami.
"Apapun, inilah bola sepak dan kami perlu memperbaikinya. Dalam Liga Super, kami tidak boleh melakukan kesilapan kecil dan perlu menumpukan kepada butiran-butiran kecil seperti ini.
"Kalau kami mahu menjadi pasukan yang lebih besar, kami perlu memperbaiki butiran kecil ini.
"Tetapi secara keseluruhan, daripada segi butiran yang lebih besar, saya tidak nampak apa-apa yang merisaukan.
"Hanya butiran kecil menjadi perbezaan dalam perlawanan ini," katanya.
Muzaffar Musa
Sun Jul 14 2024