Kehadiran penyerang import baru, Boakye Yiadom, dijangka mampu menawarkan variasi dalam jentera serangan Selangor FC.

Bagi pemain kelahiran Ghana itu, jaguh Liga Malaysia (Liga-M) iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi sasaran utama buatnya untuk ditundukkan dalam musim ini.

"JDT mengalahkan kami 0-4, saya menonton perlawanan terbabit.

"Kami hanya melakukan 1-2 kesilapan dan bermain babak kedua dengan cukup baik.




"Ada jurang kecil yang membolehkan mereka menewaskan kami jadi saya gemar pertemuan seperti ini memandangkan apabila menjaringkan gol dan menang ke atas pasukan besar seperti ini (JDT), saya akan berasa cukup puas apabila pulang.

"Saya sedia menyahut cabaran ini," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam masa sama, ketua jurulatih Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe, tidak menolak kemungkinan memperkasakan benteng melalui kelibat pemain import.

Dia enggan lagi mengenang episod kegagalan dalam Piala FA dan ingin memberi fokus 100 peratus menyambung baki saingan Liga Super musim ini apabila bertemu Kuching City Isnin ini.

"Kami perlu lupakan kekalahan kepada JDT, kami perlu melihat ke sudut positif yang positif.

"Kami kena (buat) persediaan terbaik untuk menghadap Kuching City kerana kami fokus kami adalah kedudukan kedua liga," katanya.