Selangor FC meneruskan rentak cemerlang dengan kemenangan bergaya 5-1 ke atas Terengganu FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium MBPJ, sebentar tadi.

Selangor masih lagi segar dengan kemenangan 4-0 ke atas Sri Pahang FC dalam aksi pusingan 16 Piala FA membawa momentum cemerlang memasuki perlawanan kesembilan Liga Super musim ini.

Permulaan di antara kedua-dua pasukan kelihatan seimbang, di mana Selangor dan Terengganu saling melancarkan gerakan dalam usaha untuk mendapatkan jaringan.

Bagaimanapun, dominasi penuh separuh masa pertama Selangor bermula dengan jaringan pembukaan Ayron del Valle pada minit ke-17, rembatan rendah pemain import kelahiran Colombia itu gagal ditampan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

Selangor terus mengasak kubu pertahanan pelawat, serangan daripada sayap kanan yang dilakukan oleh pertahanan, Quentin Cheng bijak menjolok masuk bola ke dalam kotak penalti, hanya untuk bekas pemain Terengganu, Faisal Halim untuk menggandakan jaringan empat minit kemudian.

Ketika perlawanan menuju rehat separuh masa, Selangor berjaya menghasilkan jaringan ketiga, sepakan sudut Mukhairi Ajmal Mahadi berjaya disambar oleh Harith Haiqal Adam Afkar sekaligus menutup separuh masa pertama penuh gemilang buat Gergasi Merah.

Terengganu berusaha untuk bangkit mengejar ketinggalan satu jaringan, percaturan pengendali, Tomislav Steinbrückner, membawa masuk Ivan Mamut berhasil apabila pemain itu meledak satu gol pada minit ke-61 selepas menyambar hantaran silang Syafik Ismail.

Jaringan tersebut tidak menghadirkan suasana cemas buat tuan rumah, mereka kembali mengatur gerakan dan berjaya meledak jaringan keempat, Noor Al-Rawabdeh bijak melepas hantaran jauh untuk Ayron menjaringkan gol kedua dalam perlawanan ini.

Ketika sudah mendahului dengan kedudukan selesa, Selangor terus mengasak kubu pertahanan Terengganu, pemain gantian, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, meledak masuk gol yang kelima tuan rumah sekaligus melepaskan malam penuh bergaya skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Sementara itu, KL City bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Kedah Darul Aman FC di Alor Setar.

Skuad Bojan Hodak terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Paulo Josue, sebelum Kedah mendapatkan gol daripada Jonathan Balotelli dan Bojan Tiger.

Pelawat bagaimanapun bangkit dalam separuh masa kedua apabila berjaya mendapatkan dua jaringan daripada Romel Morales dan Herlison Caion sekaligus mendapatkan kemenangan berharga di Stadium Darul Aman.


Keputusan lain:

Kuching City 0 Sri Pahang FC 1

Penang FC 2 Kelantan United 0