Skip to main content

Bola Sepak

Liga Sosial Temerloh 2025: 10 pasukan bakal berentap buru kejuaraan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

liga-sosial-temerloh.jpg
Liga Sosial Temerloh 2025 bakal membuka tirai saingan buat julung kalinya 11 Julai ini menawarkan peluang kepada pemain muda dan pasukan baharu di daerah ini untuk menyerlah dalam arena bola sepak tempatan.

Pengerusi kejohanan, Adam Ahmad berkata, penganjuran liga ini tercetus selepas ketiadaan saingan tahunan oleh Temerloh FA, sekali gus membuka ruang kepada anak muda khususnya lepasan SPM untuk membina pasukan dan menyertai pertandingan rasmi.

“Had umur ditetapkan bermula 16 tahun dan pemain yang pernah beraksi dalam liga lebih tinggi tidak dibenarkan. Tujuannya ialah memberi ruang sepenuhnya kepada bakat baharu,” jelas beliau.

Sebanyak 10 pasukan akan bersaing dalam edisi pertama ini, dengan dua trofi menjadi rebutan iaitu Piala Liga dan Piala FA, masing-masing menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 untuk juara.

Majlis pelancaran liga disempurnakan oleh Penyelaras DUN Kuala Semantan, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli di Dewan Sri Mentakab pada Selasa.

Ridzuan menyifatkan liga ini sebagai inisiatif penting dalam melonjakkan kembali sukan bola sepak di Temerloh, khususnya dalam kalangan belia.

“Sambutan sangat menggalakkan, namun disebabkan kekangan logistik, hanya 10 pasukan dapat disenarai pada edisi kali ini. Kita harap penganjuran ini jadi perintis kepada skala lebih besar pada masa akan datang,” katanya.

Padang Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Mentakab dan padang JPKK Kampung Bangau akan menjadi gelanggang rasmi perlawanan manakala Stadium MPT dijangka menjadi venue perlawanan akhir.-Sinar

 

Advertisement

Must Watch Video