Skip to main content

Bola Sepak

Lewandowski ulangi sudah tiada hati lagi di Bayern Munich

lewandowski.jpg
Robert Lewandowski berkata ada bahagian dalam dirinya yang sudah mati di Bayern Munich ketika penyerang itu terus mendesak untuk berhijrah ke Barcelona.

Pemain antarabangsa Poland itu yang masih mempunyai baki kontrak setahun lagi bersama juara Bundesliga berkenaan berulang kali menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Allianz Arena pada musim panas ini.

Walaupun tiada pengesahan rasmi dibuat oleh pemain itu, tumpuan Lewandowski terarah kepada perpindahan ke Camp Nou untuk meneruskan kariernya yang penuh gemilang. 

Selain keengganan Bayern untuk melepaskannya, status kewangan Barca juga dianggap sebagai penghalang utama untuk menyempurnakan perpindahan itu. 

Begitupun, Lewandowski tetap dengan pendiriannya untuk tidak kekal di Bavaria pada musim akan datang sambil menegaskan dia ingin mencari cabaran baharu.

"Sesuatu telah mati di dalam diri saya," kata penyerang itu kepada outlet Poland, Onet Sport. 

 


“Saya mahu meninggalkan Bayern untuk mencari emosi baru dalam hidup saya.

"Saya mahu meninggalkan Bayern. Kesetiaan dan rasa hormat lebih penting daripada tanggungjawab, jadi cara terbaik ialah mencari penyelesaian untuk kedua-dua pihak."

Walaupun turut dikaitkan dengan kelab lain, laporan mencadangkan Barca menjadi satu-satunya destinasi untuknya sekiranya dia meninggalkan Bayern.

Pemain berusia 33 tahun itu menambah: "Senarai kelab yang berminat dengan saya tidak begitu panjang.

"Terdapat banyak khabar angin mengenai minat daripada kelab tertentu. Tapi saya tidak mempertimbangkan tawaran lain."

Advertisement

Must Watch Video