Skip to main content

Bola Sepak

Letak Negeri Sembilan di landasan sebenar, mahu kembalikan zaman kegemilangan -- Nasrullah Haniff

nsfc.jpg
Impian tersebar anak jati Negeri Sembilan, Nasrullah Haniff Johan, ialah ingin melihat negeri kelahirannya kembali menjadi salah satu gergasi bola sepak negara suatu hari nanti. 

Untuk rekod, musim ini adalah tahun keempat buat dirinya menabur bakti di Negeri Sembilan selepas mewakili Terengganu sebelum ini.

Sang Rusa melangkah gagah mewarnai semula kancah Liga Super susulan berjaya merangkul kejuaraan Liga Perdana pada tahun 2021.

2022 adalah titik kebangkitan apabila mempamerkan persembahan terpuji menamatkan saingan liga di kelompok lima terbaik sambil menggilap permata baru Harimau Malaya iaitu Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan Ahmad Khuzaimi Piee.

Namun, kini skuad Hoben Jang Hoben dihimpit pelbagai episod duka apabila sekadar mencatatkan dua kemenangan sahaja dan berada di kedudukan kedua tercorot liga. 




“Semua orang tahu Negeri Sembilan antara gergasi bola sepak negara, sebelum ini. 

“Saya sebagai anak jati, sudah pasti saya tidak mahu melihat pasukan ini terus dihimpit pelbagai kekecewaan.

“Saya akan terus memberi sokongan motivasi untuk mengangkat kembali bola sepak Negeri Sembilan ke peringkat yang lebih tinggi," kata ketua pasukan itu. 

Ketika ditemu bual oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, di segmen Pemain Eksklusif, pertahanan berusia 34 tahun itu, meletakkan 100 peratus kepercayaan kepada pengurusan baru Negeri Sembilan untuk mengembalikan zaman kegemilangan seperti sebelum ini.

“Bagi saya, saya mempercayai hala tuju pengurusan baru yang sudah merangka struktur dan perancangan terbaik  untuk membawa skuad ini ke landasan yang sebenar," tambahnya.

Kali terakhir Negeri Sembilan menggondol gelaran Liga Super adalah pada tahun 2006. 2009 hingga 2010 dianggap selaku detik dan momen berharga Negeri Sembilan kerana membawa pulang trofi paling berprestij, Piala Malaysia dan Piala FA.
 

Advertisement

Must Watch Video