PIALA MALAYSIA
Kurang masa latihan gugat persiapan Kedah
Pemain sayap Kedah, Syazwan Zainon, mengakui ketibaan pasukannya kali ini gagal melewati persediaan sempurna selepas diberi pelepasan dua hari berikutan kemangkatan Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah, Isnin lalu.
Kekurangan masa latihan bersama Lang Merah membuatkan Syazwan berasa kemunculan mereka di Stadium Selayang untuk berdepan Selangor dalam suku akhir pertama Piala Malaysia malam esok, ada tawarnya.
Apatah lagi aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia bertemu Kelantan juga tidak menampilkan tujuh pemain utama susulan diberi cuti rehat selepas beraksi untuk skuad kebangsaan.
Iklan
Tambahan dengan cuti pelepasan selepas kemangkatan Almarhum Sultan Kedah, barisan Nidzam Adzha Yusof hanya sempat berlatih sehari sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.
"Kami kurang latihan kerana diberikan pelepasan dua hari. Jadi, kami hanya berlatih semalam," ujar Syazwan.
Bagaimanapun, itu tidak cukup untuk dijadikan gambaran awal persembahan Kedah di Selayang.
Tegas Syazwan, misi utama mereka adalah untuk membolosi gawang Selangor sebagai bekalan aksi kedua di Alor Setar, 24 September ini.
"Yang penting sekali, kami perlu mendominasi perlawanan. Kalau kami tidak mahu dibolosi, kami perlu mengawal permainan," tambahnya.
Must-Watch Video