Pertahanan Liverpool, Kostas Tsimikas, menyasarkan untuk memenangi setiap trofi musim ini selepas membuat penampilan ke-100 untuk kelab itu ketika bertemu West Ham, kelmarin.
Tsimikas menggantikan Andy Robertson dalam kemenangan 5-0 The Reds di Stadium London bagi membuat penampilan keduanya musim ini sejak kembali daripada kecederaan buku lali yang dialami pada November lalu.
Pemain antarabangsa Greece itu sering menjadi pelapis kepada Robertson di Merseyside dan musim lalu tampil sebanyak 20 perlawanan.
Tsimikas telah mencatat 17 bantuan jaringan tetapi masih belum mencetak sebarang gol buat The Reds dalam perlawanan kompetitif sejak berpindah dari Olympiacos pada 2020.
Dia menjaringkan gol kemenangan dalam penentuan sepakan penalti Piala FA ke atas Chelsea pada 2022 selain turut mencipta gerakan gol untuk Virgil van Dijk ketika mengenepikan The Blues dalam Piala Liga Inggeris (EFL) musim lalu.
Setelah memenangi tiga trofi sepanjang kariernya di Anfield, Tsimikas kini mahu menyumbang kepada kejayaan selanjutnya, apatah lagi The Reds kini menerajui Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.
"Saya 100 peratus pasti mahu memenangi segala-galanya. Saya fikir pasukan ini boleh memenangi segala-galanya jadi setiap (misi) pertandingan akan datang adalah jelas untuk kami," katanya.
? Reds appearances for KT21 ? pic.twitter.com/bTYJdecVmd
— Liverpool FC (@LFC) December 30, 2024
“Kami perlu memenangi setiap perlawanan sambil cuba memenangi setiap pertandingan.
"Kami menetapkan matlamat dari awal musim lagi dan satu-satunya perkara yang perlu kami lakukan ialah turun ke padang dan buktikan kepada dunia bahawa kami adalah pemain yang bagus, kami bermain bola sepak yang luar biasa dan kami memenangi perlawanan bola sepak."