Skip to main content

Bola Sepak

Kos VAR hampir cecah RM10 juta -- MFL

var2.jpg
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mungkin perlu mencari tajaan yang lebih besar untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) apabila sistem video bantuan pengadil (VAR) mula diaplikasikan tahun hadapan.

Ia selepas badan pentadbir liga itu terpaksa berbelanja besar dalam usaha memastikan sistem VAR berkenaan dapat digunakan dalam setiap perlawanan liga di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam, berkata kos untuk mengaplikasi VAR pada tahun hadapan cukup tinggi dianggarkan sekitar RM9.7 juta.

“Selepas itu (untuk tahun seterusnya), anggaran MFL pada masa ini adalah RM3.2 juta setahun dan ia tidak termasuk kos yang kami tidak dapat kenal pasti buat masa ini.

“Untuk tahun pertama lebih tinggi disebabkan oleh pembelian barang-barang yang diperlukan. Ia kos pelaburan untuk tahun pertama. Ini tidak termasuk kamera tambahan kalau kita nak tambah untuk tahun seterusnya," katanya dalam sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya hari ini.

Dalam pada itu, Stuart menegaskan MFL masih belum dapat memberikan tarikh tepat selain memberikan bayangan ia tidak akan dapat diaplikasikan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia seperti yang dijangka.

“Sebelum saya jawab tarikh untuk kita implementasi VAR ini, kami perlu melihat kepada segi kewangan, infrastruktur dan perbincangan dengan badan penyiar untuk memastikan kesediaan semua yang terbabit dalam implementasi VAR ini.

“Beri MFL sedikit masa lagi untuk memastikan apa-apa jawapan yang kami bagi adalah berfakta dan telah merujuk kepada semua yang terbabit.

“Ini bagi memastikan semua dalam keadaan cukup bersedia iaitu dari segi latihan pengadil, penyiaran dan segala infrastruktur," katanya.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video