UEL
Koeman pikul tanggungjawab selepas dimalukan Atalanta
Pengendali Everton, Ronald Koeman, menyalahkan dirinya selepas menyaksikan pasukannya kecundang di tangan Atalanta dalam saingan Liga Europa, awal pagi tadi.
Everton tunduk kepada pasukan yang kembali membuat penampilan di Eropah selepas 26 tahun tatkala pasukan tuan rumah melakar kemenangan 3-0 menerusi jaringan Andrea Masiello (m-27), Alejandro Gomez (m-41) dan Bryan Cristante (m-44).
The Toffees bolos kesemua tiga gol dalam tempoh 45 minit pertama dan gagal melaksanakan kebangkitan, sekaligus menyaksikan mereka mencatat kekalahan ketiga dalam semua kejohanan.
Iklan
Koeman, yang berbelanja besar dengan membawa masuk beberapa muka baru, mengakui memikul tanggungjawab ke atas kekalahan tersebut, namun menegaskan pemainnya perlu mempamerkan semangat juang tinggi.
"Atalanta bermain dengan agresif dan bagi saya, kami sepatutnya memulakan saingan dengan keazaman sama," Koeman memberitahu BT Sport.
"Saya tanya diri saya di mana silapnya, separuh masa kedua berdepan Tottenham (tewas 3-0, Sabtu lalu) dan babak pertama dalam perlawanan ini.
"Saya tidak suka melihat pasukan saya beraksi seperti ini. Komitmen dan semangat juang dipamerkan Atalanta jauh lebih baik berbanding kami.
"Tetapi sekali lagi ini bukan tempat dan masa untuk mengkritik pemain. Saya perlu menyalahkan diri saya kerana tidak melakukan persiapan dengan baik.
"Atalanta melakukan persiapan dengan lebih baik."
Everton kini tanpa sebarang kemenangan selepas lima perlawanan merentasi semua kejohanan musim ini.
Selepas menghadapi Manchester City, Chelsea dan Tottenham, mereka bakal bertandang ke Old Trafford, Ahad ini.
Koeman berkata jadual perlawanan bukan alasan untuk tidak mempamerkan aksi lebih baik.
"Di awal musim lagi, kami sedar jadual perlawanan tidak memihak kami. Jadi, kami perlu menerima senario ini," katanya.
Must-Watch Video