Skip to main content

Bola Sepak

Klopp mampu cungkil kemampuan sebenar Oxlade-Chamberlain

alexoxlade-chamberlain-cropped_13ltp3vl7xcxr12zwc4ix4roz8-(1).jpg
Kapten Liverpool, Jordan Henderson, percaya pengendali, Jurgen Klopp, mampu membantu rekrut baru, Alex Oxlade-Chamberlain, menjadi pemain lebih mantap.

Oxlade-Chamberlain menyertai Liverpool daripada Arsenal dengan yuran perpindahan yang dilaporkan mencecah GBP35 juta (RM193 juta) pada hari terakhir jendela perpindahan.

Pemain tengah England itu dikhabarkan menjadi sasaran beberapa pasukan di samping ditawarkan kontrak baru bersama Arsenal, namun memutuskan untuk ke Anfield.

Henderson berkata Klopp mampu meningkatkan lagi prestasi Oxlade-Chamberlain, yang bakal memastuki musim ketujuhnya dalam Liga Perdana Inggeris.

"Kamu pernah menyaksikan gelagat Klopp di tepi padang, dia seorang yang sangat bersemangat, dia seorang pengurus yang menakjubkan. Saya yakin dia mampu membantu Alex," Henderson memberitahu akhbar UK.

"Saya teruja dia menyertai kami tetapi ketika ini kami bersama England, jadi fokus kami perlu terarah kepada aksi berdepan Slovakia. Selepas itu barulah kami boleh mengalihkan tumpuan kepada aksi berdepan Manchester City."

Henderson berkata Oxlade-Chamberlain mampu beraksi di bahagian sayap atau tengah.

"Dia mampu memberikan aksi berkesan dalam kedua-dua posisi. Dia mampu menyesuaikan diri dalam dua posisi itu," katanya.

"Dia memiliki kekuatan dan di bahagian tengah, dia bijak untuk mengawal bola. Bagi saya, dia mampu beraksi dalam dua posisi ini."

Liverpool bakal bertandang ke Etihad dalam aksi berdepan Manchester City, Sabtu ini.

Advertisement

Must Watch Video