Skip to main content

Bola Sepak

Klopp keliru Kompany terlepas kad merah

kompany-cropped_vs18sfnrx67a140oukvegnocf.jpg
Jurgen Klopp mengakui bingung selepas Vincent Kompany terlepas daripada layangan kad merah susulan terjahan kerasnya terhadap Mohamed Salah dalam babak pertama ketika Liverpool tewas 2-1 di tangan Manchester City di Etihad, awal pagi tadi.

City kembali menghidupkan persaingan untuk merebut kejuaraan liga musim ini apabila menundukkan Liverpool 2-1, sekali gus mendekatkan perbezaan kepada empat mata dengan pendahulu itu.

Kekalahan bakal menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola itu ketinggalan 10 mata berbanding The Reds sambil pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu membayangkan kemenangan sekiranya Kompany dibuang padang dalam separuh masa pertama.

Pertahanan Belgium itu melayangkan badan untuk melakukan bentesan terhadap Salah yang cuba merampas bola dan menuju ke gawang tatkala Kompany dilihat jatuh ke tanah tanpa dapat mengawal badannya.

Dia diberikan kad kuning atas insiden tersebut tetapi Klopp jelas keliru bagaimana kapten City itu tidak dilayangkan kad merah.

Bercakap kepada Skysports, Klopp berkata: "Saya sangat sukakan Kompany tetapi bagaimana dia tidak menerima kad merah?

"Dia benteng terakhir dan cuba menghalang. Jika dia membentes Salah lebih kuat, pasti Salah akan berehat sepanjang musim. Tidak mudah buat pengadil dan mungkin dia tidak melihat seperti apa yang saya saksikan."

Bagi Kompany, dia yakin telah melakukan halangan yang tepat dan langsung tidak berfikir untuk melepaskan Salah.

"Saya rasa ia adalah halangan yang hebat, bukan? Saya mendapatkan bola, terkena sedikit kaki pemain lawan tetapi ia tidak nakal," ujar Kompany.

"Saya tidak cuba untuk membuatkannya cedera. Ia berlaku atau saya lepaskan Salah menuju ke gawang dan saya hanya memikirkan satu penyelesaian."

Advertisement

Must Watch Video