Jurgen Klopp membayangkan Liverpool tidak mungkin membuat sebarang pembelian lanjut sebelum jendela perpindahan ditutup dan akan cuba menyekat usaha Naby Keita meninggalkan Anfield.

Kelab dari Merseyside itu dituntut membuat pembelian saat akhir selepas seri dua perlawanan pertama kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) berikutan dibayangi kepincangan di bahagian tengah.

The Reds beraksi tanpa Thiago Alcantara, Alex Oxlade-Chamberlain dan Curtis Jones akibat kecederaan ketika terikat 1-1 dengan Crystal Palace minggu lalu, yang menyaksikan tonggak muda, Harvey Elliott, digandingkan bersama Fabinho dan James Milner.

Mereka memperkasakan skuad dengan kehadiran penyerang, Darwin Nunez, termasuk pemain tengah kreatif, Fabio Carvalho, dan pertahanan muda, Calvin Ramsay, sejak memenangi dua piala domestik musim lalu.

Ditanya adakah dia berpuas hati dengan pilihannya di bahagian tengah menjelang kunjungan ke Manchester United awal pagi esok, Klopp berkata: "Ya, apabila mereka semuanya 100 peratus cergas dan kami sentiasa berusaha untuk mengukuhkannya.

“Kami sentiasa melakukannya tetapi ia haruslah dengan pemain yang tepat dan jika mereka belum bersedia ketika ini, maka kami perlu tumpu mengatur sumber yang ada, bukannya menandatangani pemain yang tepat.

"Situasi ini tidak berubah. Sekarang kami mempunyai lebih banyak kecederaan daripada yang kami jangkakan. Sudah tentu ini peluang untuk kami mengikat pemain tengah baru, kami tidak pasti bilakah pemain-pemain ini akan pulih. Situasi sentiasa berubah-ubah.

"Hakikatnya saya tidak bertanggungjawab ke atas apa yang boleh kami belanjakan. Kami cuma tahu tentang apa yang telah dimaklumkan kepada kami. Kemudian kami akan menanganinya. Ia kekal begitu, tidak pernah berubah.

"Saya perlu sentiasa akur dan merealisasikannya. Adalah tidak masuk akal untuk berasa bimbang terhadap sesuatu yang anda tidak boleh ubah. Ia satu bentuk pembaziran tenaga, membazirkan aura positif.

"Saya sukakan kumpulan pemain ini, bukan kerana mereka sangat tampan. Tidak, ini adalah disebabkan mereka merupakan watak yang luar biasa. Terimalah hakikat ini dan terus pacu ke depan."




Pemain antarabangsa Guinea, Keita, dijangka memberi impak besar ketika menyertai Liverpool daripada RB Leipzig pada 2018 tetapi dia hanya diturunkan dalam 46 perlawanan EPL berikutan sering dibelenggu masalah kecederaan di Merseyside.

Rakan sepasukan di bagian tengah, Jordan Henderson (120), Fabinho (117), Georginio Wijnaldum (110) dan Milner (105), telah membuat penampilan liga yang jauh lebih banyak berbanding Keita (76) sejak ketibaannya.

"Menjual Naby sekarang dan tidak menggantikannya?

"Tidak, itu tidak mungkin. Sudah tentu tidak. Ia tiada dalam perancangan," kata Klopp.