Skip to main content

Bola Sepak

Kim Swee sedia kekal terajui skuad B-22

ong-kim-swee-090917.jpg
Pengendali skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, memberi gambaran akan terus kekal bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila mengesahkan sudah bertemu dengan pengurusan dan pucuk pimpinan persatuan itu. 

Kim Swee menyifatkan pertemuan itu sebagai positif walaupun kedua-dua pihak belum lagi mencapai kata sepakat mengenai sebarang lanjutan kontrak. 

Kontrak pengendali kelahiran Melaka itu bersama FAM akan tamat hujung tahun ini, namun Kim Swee masih komited dengan tugasan dengan FAM apabila sudah memikirkan mengenai perancangan buat skuad B-22 dalam saingan pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China, awal tahun depan. 

"Saya sudah berjumpa dengan pihak pengurusan, termasuk Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. 

"Saya percaya kita akan dapat keputusan yang akan memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak. 

"Cuaca di China pada Januari memainkan peranan yang cukup penting. Kita perlu bersiap sedia pada Disember nanti untuk menyesuaikan diri," katanya. 

Dalam masa sama, Kim Swee mengakui mahu melihat pemain muda negara berkelana ke luar negara selepas timbul perkhabaran minat daripada beberapa kelab Thailand terhadap pemain B-22 negara yang cemerlang dalam temasya KL2017. 

Adam Nor Azlin, Azam Azih, Syamer Kutty Abba, Jafri Firdaus Chew, Adib Zainuddin dan penyerang sensasi, N. Thanabalan, adalah enam pemain negara yang dilaporkan sedang dipantau beberapa kelab liga utama Thailand. 

Kim Swee turut berharap mereka akan mempertimbangkan tawaran dari Thailand kerana percaya pemain muda negara akan lebih mudah menyesuaikan diri dengan keadaan di negara jiran itu yang turut mempunyai saingan liga berkualiti. 

"Kemungkinan jika pemain kita ke Eropah, makanannya adalah berbeza. 

"Sebaliknya kalau di Thailand, makanannya adalah sama dengan jarak yang begitu dekat. 

"Mereka tidak harus memikirkan soal rindukan kampung halaman walaupun tiada makanan yang sukar untuk mereka."

Advertisement

Must Watch Video