Skip to main content

Bola Sepak

Kim Swee gembira aksi barisan tengah

aoksak.jpg
Pengendali skuad B-22 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, tetap gembira dengan persembahan pasukannya, terutama barisan tengah, walaupun mencatat kekalahan dalam aksi persahabatan menentang MIFA di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), petang tadi.

Skuad kendalian Kim Swee kini sedang dalam persiapan menjelang Kejohanan AFF B-22 yang 
akan berlangsung di Kemboja bermula 17 Februari depan.

Aksi pemanas badan yang berlangsung di Nilai hari ini menyaksikan skuad negara bergelut untuk menandingi keamatan yang dicetuskan MIFA.

Jaringan pertama perlawanan hadir menerusi sepakan penalti yang disempurnakan calon import MIFA dari Brazil, Pedro, pada minit ke-10 tatkala anak-anak buah Kim Swee yang diketuai Daniel Amier Norhisham mula memperoleh peluang di kubu lawan selepas 20 minit pertama.

Bagaimanapun, peluang keemasan mereka pada di minit ke-30 gagal disempurnakan Juzaerul Jasmi.

Separuh masa kedua berlangsung dengan kedua-dua pasukan terus menguji pemain di bangku simpanan tetapi kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

"Ia perlawanan yang penting untuk saya nilai sebelum kami berada di Bangkok. Kami dapat melihat beberapa kombinasi dan berpuas hati. Namun, apabila ke sana nanti, akan ada tiga lagi perlawanan untuk saya menilai pemain. Lawan di sana merupakan pasukan yang lebih baik," kata Kim Swee.

"Kami hanya berlatih selama empat hari dan ini adalah aksi pertama. Banyak perkara perlu diperbaiki tetapi kombinasi di bahagian tengah yang menampilkan Daniel Amir bersama Nik Akif Syahiran Nik Mat agak baik.

"Namun dalam babak kedua, Mohd Fazrul Daniel Mohd Nizam dan Muhammad Zahril Azri menunjukkan prestasi bagus tetapi masih terlalu awal untuk memikirkan kesebelasan utama."
 

Advertisement

Must Watch Video