Skip to main content

Bola Sepak

KFA tetap bawa isu Akhyar ke CAS

akhyar.jpg
Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dijangka akan meneruskan langkah membawa kes perpindahan Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) susulan pertemuan bersama badan pentadbir liga, Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Pertemuan di antara KFA dan MFL hari ini merupakan sebahagian daripada sesi taklimat pasukan berikutan ketiadaan wakil Kedah dalam pertemuan di Johor Bahru sebelum ini.

Ia dihadiri wakil tiga lagi pasukan, iaitu PKNS FC, Perak dan UiTM FC.

KFA diwakili oleh Naib Presiden, Mohd Yusuri Yusof, dalam pertemuan selama sejam dengan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

Sudah pasti isu berkaitan Akhyar turut menjadi antara agenda utama dengan MFL sebelum ini pernah menawarkan diri untuk menjadi perantara dalam perkara itu.

"Ini adalah perlembagaan yang perlu diikut dan dari situ pihak, kepimpinan KFA akan berbincang langkah-langkah seterusnya. Ia terbuka sekiranya ingin dibawa sehingga ke CAS tetapi apapun, kami perlu merujuk banyak perkara, termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," kata Yusuri.

Dalam pada itu, Kevin menjelaskan segalanya terserah kepada KFA untuk mengambil langkah seterusnya di sebalik cadangan badan itu untuk membawa isu itu kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa-Asia (IAIC) terlebih dahulu bagi menyelesaikan sebarang pertikaian.

"Mengikut perlembagaan MFL, ia berdasarkan IAIC tetapi kami perlu lihat mereka ingin membawa kes ini daripada sudut yang bagaimana. Apa sahaja yang cuba kami bincangkan tadi, kami telah berikan maklumat yang sepatutnya dan diharapkan mereka membuat keputusan yang betul," katanya.

Kevin turut mengesahkan pihaknya telah menerima pendaftaran awal pemain bagi musim 2019, dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) menamakan pemain itu dalam senarai simpanan pasukan berkenaan.

Kevin juga menjelaskan keputusan mengenai status pemain Pahang, Mohamadou Sumareh, merupakan keputusan bersama dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) bertekad mendaftarkan pemain berusia 24 tahun itu sebagai pemain tempatan dalam tempoh pendaftaran pertama meskipun MFL telah menetapkan mereka hanya boleh berbuat demikian Mac depan.

Status Sumareh dijangka dapat diketahui selewat-lewatnya Rabu ini.

"Apa sahaja keputusan MFL adalah hasil daripada pasukan-pasukan. Apabila diputuskan tentang Sumareh, ia adalah hasil daripada pasukan yang lain dan bukan pengurusan liga. Jadi, ia mengambil proses yang tertentu," tambah Kevin.
 

Advertisement

Must Watch Video