Skip to main content

Bola Sepak

Ketiadaan Hafiz kehilangan besar buat Perak

hafiz-kamal-140917.jpg
Ketua pasukan The Bos Gaurus, Shahrom Kalam, sedar pertemuan dengan Pahang dalam pusingan pertama suku akhir Piala Malaysia di Kuantan, Sabtu ini, akan menjadi sengit kerana masing-masing ingin mencari bekalan selesa menuju ke pusingan kedua nanti.

"Pertembungan ini menarik kerana masing-masing ingin mencari bekalan selesa bila bertemu dalam pusingan kedua nanti. 

"Kemampuan tuan rumah dalam kancah bola sepak tempatan memang diakui dan Perak perlu mengatur stragtegi lebih berkesan jika ingin menjinakkan Pahang.

"Mereka satu pasukan yang baik dengan import dan pemain yang bagus. Bukan mudah bagi kami tapi sasaran tetap sasaran. Perak akan pulang dengan mata," ujar Shahrom.

Menilai kemampuan lawan, Shahrom berkata: "Kedua-dua pasukan seimbang daripada segi kekuatan. Oleh itu, bagi saya apa yang membezakannya nanti ialah semangat perjuangan, fokus dan disiplin pemain ketika di padang.

"Saya menyarankan rakan-rakan untuk bagi lebih daripada biasa jika berhasrat untuk pergi lagi jauh."

Sementara itu, kem Perak dilaporkan menerima khabar tidak menggembirakan apabila Hafiz Kamal dilanda kecederaan ligamen ketika sesi latihan.

Menurut ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, ia satu kehilangan besar kepada The Bos Gaurus kerana Hafiz sebelum ini banyak menyumbang dan begitu konsisten.

"Apa yang boleh dikatakan. Ketika saingan makin memuncak, Hafiz pula cedera dan berkemungkinan tidak dapat beraksi hingga akhir musim. 

"Dia seorang pemain yang bagus dan saya doakan dia cepat sembuh," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video