PIALA MALAYSIA
'Keputusan penalti diberi kepada JDT, setiap insiden disemak tepat'
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato' S. Sivasundaram, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM menjelaskan prestasi dan setiap keputusan penting pengadil final Unifi Piala Malaysia 2024/25, Razlan Joffri Ali, adalah tepat.
Dia turut menjelaskan setiap insiden diadili dnegan tepat mengikut Undang-undang permainan FIFA selepas meneliti laporan Penilai Pengadil serta analisis oleh Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM.
Dalam perlawanan itu menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) menewaskan Sri Pahang 2-1, dengan terdapat insiden kad merah membabitkan kedua-dua pasukan sepanjang aksi berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Iklan
"Laporan Penilai Pengadil menunjukkan bahawa pengendalian perlawanan oleh Razlan telah menunjukkan satu prestasi yang baik, sekali gus tidak mempengaruhi keputusan akhir perlawanan.
"Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM juga telah membuat analisa perlawanan dan mendapati keputusan Kad Kuning kedua (Perintah keluar padang) yang diberikan kepada kedua-dua pasukan adalah tepat dari segi Undang-undang Permainan FIFA 2024/2025.
"Keputusan penalti yang diberikan kepada pasukan JDT dan keputusan membatalkan gol JDT kerana kesalahan offside adalah tepat.
"Setiap insiden dalam permainan tersebut telah disemak dengan tepat oleh Pengadil VAR dan tahap pematuhan ‘Protocol VAR’ adalah sangat cemerlang.
"Lumrah manusia yang mana tidak lari daripada kesilapan-kesilapan yang mana ia tidaklah sebesar mempengaruhi keputusan akhir perlawanan tersebut.
"Kedua-dua pasukan telah memiliki peluang yang sama rata untuk bergelar juara dan ia ditentukan oleh pasukan itu sendiri. FAM sangat komited dengan mutu prestasi pengadil dan FAM tidak pernah berkompromi dalam hal mutu pengadil." katanya.
Must-Watch Video