Perancang tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin, memberi bayangan bakal menjanjikan aksi kebangkitan dalam pertemuan kedua menentang Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 26 Mac ini.

Tonggak Sabah itu mengakui episod duka di bumi Muscat tempoh hari perlu dilupakan segera dan mengambil pelajaran dalam memperbaiki segala kelemahan menjelang aksi keempat minggu depan.

Dia beraksi baik pada separuh masa pertama sebelum dikeluarkan pada babak kedua permainan dan menyaksikan skuad negara terpaksa akur dengan kekalahan 0-2.



Kekalahan itu menyaksikan Malaysia jatuh ke tangga ketiga Kumpulan D berkongsi enam mata bersama Oman dan Krygyzstan, namun hanya dipisahkan menerusi perbezaan jaringan sahaja.

"Saya merasakan kami boleh pelajari taktik yang mereka gunakan ketika menewaskan kami dan cuba untuk perbaiki setiap sudut kelemahan tersebut.

"Saya pasti kami boleh mengalahkan pasukan lawan nanti memandangkan kami juga pernah beraksi dalam perlawanan yang bertaraf tinggi sebelum ini.

"Kami berharap dapat melupakan perlawanan bertemu Oman sebelum ini dan fokus dalam aksi kedua untuk mendapatkan keputusan yang baik di Stadium Bukit Jalil nanti." katanya.