BOLA SEPAK
Kelayakan Piala Dunia: Penyokong Itali perlu kenang jasa Donnarumma
Marco Verratti tampil mempertahankan rakan sepasukannya di kem Paris Saint-Germain (PSG) dan Itali, Gianluigi Donnarumma.
Penjaga gol itu dihujani kritikan berikutan PSG gagal mempertahankan kelebihan 2-0 apabila tersingkir agregat 2-3 di tangan Real Madrid dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), lebih-lebih lagi kesilapannya membuka ruang buat Karim Benzema untuk jaringan kebangkitan kelab Sepanyol itu di Santiago Bernabeu.
Donnarumma dibolosi enam gol dalam dua penampilan terakhirnya tetapi menjelang perlawanan penentuan kelayakan Piala Dunia membabitkan Itali menentang Macedonia Utara, Verratti menuntut penyokong Azzurri agar mengenang semula prestasi rakan sepasukannya itu ketika mereka menjuarai Euro 2020.
Iklan
"Kami perlu yakin. Khamis (awal pagi Jumaat) ini akan menjadi perlawanan penting menentang sebuah pasukan yang sememangnya layak untuk berada di sini," kata pemain tengah itu dalam sidang akhbar.
“Seperti yang kami lakukan dalam Euro, kami perlu turun dengan semangat dan kemahuan yang tinggi.
"Setiap daripada kami mempunyai cerita berbeza ketika bersama kelab masing-masing, tapi di sini kami perlu mengerahkan segala-galanya. Dengan pasukan kebangsaan kami sentiasa berjaya bergerak ke hadapan."
5/5 - Gianluigi Donnarumma has won each of the five games in which his team has faced penalty shootouts: three for his club and two for the National Team. Superman.#ItaliaInghilterra #Euro2020Final #EURO2020 pic.twitter.com/41uCXUa6Ge— OptaPaolo ? (@OptaPaolo) July 11, 2021
Malah, perancang berumur 29 tahun itu berkata keperitan PSG dan Juventus dalam kancah UCL minggu lalu boleh menjadi azimat untuk menyemarakkan semangat mereka.
"Apabila anda masuk ke Coverciano [pangkalan latihan skuad Itali], anda akan lupa segala yang sedang berlaku. Termasuk kekalahan bersama kelab tetapi kami masih ingat pencapaian tahun lalu," katanya lagi.
“Kami kembali bercakap mengenai kejayaan menjulang gelaran Euro, ia suasana yang berbeza.
"Dia (Donnarumma) telah pun memohon maaf atas kesilapannya ketika menentang Real Madrid, tetapi Gigio adalah insan istimewa. Dia kembali berlatih dengan semangat yang sama pada hari berikutnya.
"Jangan kita lupa apa yang telah dilakukannya untuk Itali ketika Euro. Dia adalah salah seorang penjaga gol terbaik di dunia."
Must-Watch Video