Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal, percaya Malaysia di landasan terbaik untuk mara ke pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 serta Piala Asia 2027 yang seterusnya selepas diundi dalam Kumpulan D.
Namun, bagi pengendali berpengalaman itu, skuad kebangsaan sudah semestinya bakal berdepan laluan getir berikutan Oman dan Kyrgystan hadir sebagai pasukan yang bereputasi lebih besar.
Rajagobal turut menjangkakan Taiwan bakal muncul pasukan keempat yang akan mengisi slot Kumpulan D, dan jika ia berlaku, maka Kim Pan-gon seharusnya berwaspada dengan kemungkinan besar Taiwan hadir sebagai pasukan ‘pengacau’.
Segala-galanya kini terpulang kepada perancangan Pan-gon tentang bagaimana mahu merencaca persiapan rapi buat Harimau Malaya, khususnya dalam menentukan lawan sebagai perlawanan pemanas badan bulan depan.
"Saya fikir Taiwan ada kelebihan dan menjadi pasukan yang boleh berikan cabaran.
"Walaupun di atas kertas kita mempunyai peluang cerah. Mungkin Kyrgyzstan dan Oman fikir mereka juga berpeluang cerah melolos peringkat kumpulan.
"Tapi saya fikir inilah peluang terbaik untuk kita mengambil kesempatan yang ada," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.
Shaiful Shamsudin
Sat Jul 29 2023