LIGA SUPER MSIA
Kelayakan Piala Asia: Pemain tempatan perlu sahut cabaran rebut tempat Harimau Malaya -- Razman
Kurang dua bulan sebelum kempen kelayakan Piala Asia bermula, bekas pertahanan negara, Razman Roslan, menyambut baik prinsip jurulatih baru Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Pengendali dari Australia itu menegaskan setiap pemain berpeluang mewakili negara menjelang pemilihan pemain untuk perlawanan pertama bertemu Nepal, 25 Mac depan.
Reaksi Cklamovski dalam temu bual media pertamanya seolah-olah membayangkan tiada layanan istimewa buat mana-mana pemain, sebaliknya peluang sama rata akan diberikan buat semua pemain mempamerkan keupayaan masing-masing.
Iklan
Peminat bola sepak tanah air sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap peluang pemain tempatan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.
"Ini satu peluang yang sangat besar untuk pemain tempatan. jurulatih ingin memberi peluang kepada pemain yang menyerlah dalam liga dan ini sesuatu yang positif.
"Ia perlu diambil berat oleh setiap pemain bersaing dengan memberikan yang terbaik bersama kelab, seterusnya dipanggil untuk pasukan kebangsaan," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.
Ia susulan kebanjiran pemain warisan yang dicanang berada dalam radar Harimau Malaya selain beberapa lagi pemain naturalisasi.
"Minit permainan juga penting. jurulatih akan lihat berdasarkan prestasi semasa, mungkin ada pemain lama yang akan tetap dipanggil tetapi kalau muka baru tunjukkan persembahan yang baik dan diberi peluang, ia sesuatu yang baik untuk pasukan kebangsaan.
"Jurulatih seorang yang terbuka, akan menilai prestasi pemain dari masa ke semasa. Diharap dia mampu memberikan satu keputusan yang baik dan dapat membantu skuad kebangsan berada di satu landasan terbaik," katanya.
Must-Watch Video