Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Asia 2027: Rekod pertemuan Malaysia bertemu Vietnam

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

malaysia-vietnam-new.jpg
10 Jun 2025 bakal menyaksikan Harimau Malaya kembali menggegar Stadium Nasional Bukit Jalil bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027.

Berdepan Vietnam, Malaysia sudah pasti mengintai peluang untuk memperoleh kemenangan di laman sendiri bagi memastikan kedudukan mereka untuk layak ke Piala Asia lebih kukuh.

Pertembungan yang bakal berlangsung esok antara Malaysia dan Vietnam dijangka menarik perhatian peminat bola sepak Asia Tenggara.

Skuad Harimau Malaya kini diperkuatkan Malaysian Abroad, antaranya ialah Rodrigo Holgado dan Facundo Garces.

Vietnam pula hadir selaku juara ASEAN Championship 2024 pula memiliki tonggak baharu berdarah Perancis iaitu Jason Pendant Quang Vinh.

Bagaimanapun, Vietnam dilihat tempang tanpa beberapa tonggak di bahagian serangan. 

Antara pemain yang terpaksa disisihkan Kim Sang-sik ialah Nguyen Cong Phuong, Bui Vi Hao, Nguyen Xuan Son dan Nguyen Van Toan.

Skuad negara berharap dapat menamatkan kemarau kemenangan ke atas Pahlawan Bintang Emas susulan mereka telah menewaskan skuad negara dalam lima aksi terakhir.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah aksi peringkat kumpulan ASEAN Championship 2022. 

Aksi pada 27 Disember 2022 itu berkesudahan dengan kemenangan 3-0 buat Vietnam.

Aksi tersebut turut diselubungi kontroversi apabila bek kanan, Azam Azmi Murad dilayangkan kad merah selepas didakwa mengasari Doan Van Hau di luar padang.

Menariknya, aksi kali ini akan menemukan beberapa pemain yang pernah beraksi dalam perlawanan tersebut. Antara pemain Malaysia yang beraksi pada ketika itu ialah Faisal Halim, Syihan Hazmi Mohamed dan Safawi Rasid.

Pemain-pemain Vietnam berpengalaman seperti Nguyen Hoang Duc, Nguyen Tien Linh, Pham Tuan Hai dan Nguyen Quang Hai turut beraksi dalam perlawanan sama.

Malaysia berharap dapat meraih kemenangan pertama ke atas Pahlawan Bintang Emas sejak 2014. Tahun itu menyaksikan Harimau Malaya menyingkirkan Vietnam di peringkat separuh akhir ASEAN Championship secara agregat.
 

Advertisement

Must Watch Video