Pengendali Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Park Jeahong, mahu memberikan fokus terlebih dahulu kepada perlawanan Liga Super sebelum bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Piala FA.

Jeahong berkata, pasukannya perlu meraih tiga mata terlebih dahulu untuk mendapatkan keyakinan sebelum beraksi untuk saingan berkenaan.

"Tiga mata di Liga Super lebih penting buat masa ini, selepas itu baru kami bincang soal perancangan berdepan JDT.

"Kami tumpu satu persatu dan itu lebih baik," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

Dalam perlawanan itu, KDN FC gagal menyekat penguasaan Sabah FC apabila tumpas 2-3 kepada pasukan berkenaan dalam aksi sengit.

Gol-gol kemenangan Sabah FC dijaringan oleh Gabriel Peres (minit ke-25), Stuart Wilkin (minit ke-65) dan Roman Macedo (minit ke-68) sementara Kim Lik Wan serta Bae Kyeong Hwa meledakan gol untuk KDN FC.




Mengulas mengenai perlawanan menentang Sabah, pengendali kelahiran Korea itu mengakui sedih dengan kekalahan tersebut ditambah pula dengan sokongan padu diberikan oleh penyokong.

Katanya, dia akan berusaha memperbaiki segala kelemahan yang ada menjelang aksi menentang Terengganu FC selepas ini.

"Mengenai sepak penalti, saya tidak mahu menyalahkan pemain berkenaan (Muzungu Lukombe).

"Ia (penalti) bukan satu tugas mudah. Jadi saya harap kita akan menjadi lebih bagus selepas ini," katanya.

-- Sinar Harian