Susulan undian semula yang dilakukan semalam, ketua jurulatih bola sepak pekak kebangsaan, Muhamad Haris Lajid, menganggap Malaysia yang berada dalam Kumpulan A sebagai kumpulan maut dalam Kejohanan Bolasepak Pekak Dunia kali keempat ini.

Menurutnya, persiapan termasuk perlawanan persahabatan giat dijalankan untuk memastikan skuad negara dapat memberikan cabaran hebat kepada pasukan gergasi lain seperti Jerman.

"Berdasarkan permainan mereka, saya berasakan kami mampu memberikan saingan dengan mereka. Kami telah menjalani aksi persahabatan sebelum ini, kami telah mula menampakkan peningkatan yang positif," katanya menerusi Nadi Arena.

Tambahnya lagi, menjelang aksi pertama pada 23 September depan, fokus kini tertumpu ke arah ketajaman penyudah agar setiap peluang tidak disia-siakan.

"Apa yang kami usahakan ketika ini adalah daripada segi teknik untuk melengkapkan jaringan. Itu perkara paling penting dalam memastikan mana-mana pasukan mendapatkan keputusan yang positif."

Tinggal beberapa hari saja lagi bagi saingan Piala Dunia Bolasepak Pekak untuk membuka tirainya, dan pasukan Amerika Syarikat adalah antara yang terawal tiba di Malaysia.

Perlawanan pembukaan di antara pasukan tuan rumah dan Amerika Syarikat semestinya perlawanan menjadi tumpuan sepenuhnya daripada semua peminat sukan bola sepak.

Yakin dengan tahap kebersediaan anak-anak buahnya, ketua jurulatih Amerika Syarikat, David Kunitz bagaimanapun mengakui perlu menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaysia demi memberikan aksi terbaik mereka.

"Kami sangat teruja dengan pertandingan ini. Ini merupakan satu penghargaan bertemu tuan rumah. Kami akan sangat bertuah untuk mendapatkan peluang untuk mencapai keserasian beraksi seperti cuaca di Malaysia.

Sementara itu, ketua pasukan, Will Frentz, mengakui tidak pernah melihat cara permainan pasukan Malaysia, namun yakin untuk memberikan tentangan yang sengit ketika perlawanan pertama nanti.

"Kami tidak pernah bertemu mereka, ini adalah kali pertama dan sangat teruja untuk menghadapi perlawanan ini. Kami meletakkan sasaran untuk membawa pulang pingat daripada kejohanan ini," kata Frentz.