LIGA SUPER MSIA
Kedah puas hati curi satu mata
Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, memberikan pujian kepada skuad bimbingannya selepas berjaya mengikat Terengganu FC (TFC) 1-1 di Kuala Terengganu, malam tadi.
Selain menampilkan aksi seperti yang dirancang, Nidzam menyifatkan pasukannya mengikut segala arahan diberikan, sekali gus tidak pulang ke Alor Setar dengan tangan kosong.
Nidzam berkata pemain-pemainnya cukup berdisiplin dengan tidak meninggalkan posisi serta bersabar mencipta gerakan memburu jaringan.
Iklan
"Pihak lawan ada kelebihan di atas kertas berdasarkan prestasi semasa dan kami telah mencuba habis-habisan.
"Memang kedatangan Kedah ke sini untuk mencuri satu mata," jelasnya.
Kesebelasan utama diturunkan Kedah malam tadi menyaksikan Pablo Pallares Marzo sekadar memanaskan bangku simpanan manakala tonggak tengah, Liridon Krasniqi, diketepikan akibat kecederaan.
Pemain sayap, Andik Vermansyah, pula digantikan dengan Muhammad Akhyar Rashid pada separuh masa dan Nidzam mengakui dia tiada pilihan selain menurunkan barisan terbaik mengikut penilaiannya.
"Walaupun beraksi dengan hanya dua import, kami mampu mengekang asakan tuan rumah serta memberikan persembahan menarik," tambah Nidzam lagi.
Must-Watch Video