BOLA SEPAK
Kedah mula kempen 2017 julang Piala Sultan Ahmad Shah
JDT 1 KEDAH 1
(Kedah menang sepakan penalti 5-4)
Kedah menjulang Piala Sultan Ahmad Shah apabila meraih kemenangan ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas tempoh 90 minit perlawanan sumbangsih di Stadium Larkin malam ini tamat 1-1.
Sehubungan itu, kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dalam aksi pembukaan Liga Super musim ini.
Iklan
Selaku juara bertahan, JDT turun penuh keazaman tatkala laungan bergema penyokong di Larkin menyemarakkan perlawanan pembuka tirai musim ini.
Kedah pula yang menggenggam erat Piala Malaysia musim lalu, bertandang dengan rasa hormat tetapi turut memasang impian yang menyaksikan adunan Benjamin Mora lebih menyengat pada awal babak pertama.
Selepas Brian Pereira melepaskan peluang terhidang pada minit ke-10, sepakan Gonzalo Cabrera pula sipi di tiang gol.
JDT memperoleh peluang keemasan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Pereira dijatuhkan Mohamad Syawal Nordin biarpun keputusan pengadil perlawanan boleh diragui.
Safiq Rahim dengan tenang menyudahkan sepakan penalti itu untuk meletakkan Harimau Selatan di hadapan.
Babak pertama yang berlanjutan sehingga empat minit memberi peluang buat Kedah untuk mengancam sehingga memaksa S. Kunanlan melakukan kekasaran yang menyebabkan dia di buang padang.
Kedah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan mengelirukan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-63.
Perlawanan semakin menarik dengan kedua-dua pasukan mengasak mencari jaringan kemenangan.
Bagaimanapun, aksi rancak itu berlarutan kepada penentuan sepakan penalti selepas masa sebenar perlawanan berakhir.
Kegagalan Pereira selaku penyepak keempat membuka peluang kepada skuad Lang Merah dan seterusnya Liridon Krasniqi mengesahkan kemenangan anak buah Tan Cheng Hoe.
Must-Watch Video