KDA 3 KDN O

Kedah Darul Aman memperbaiki kedudukan Liga Super dengan menghuni tangga kelima berbekalkan kemenangan 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim, sebentar tadi.


Kesilapan penjaga gol pelawat, Muhaimin Mohamad, yang gagal membaca rembatan terus daripada Rizal Ghazali menghukum anak buah Park Jaehong pada minit ke-10.

Sang Kenari terus ghairah untuk menokok jaringan dalam separuh masa pertama di Stadium Darulaman, namun sentuhan pemusnah yang diharapkan, lebih-lebih lagi daripada Syafiq Ahmad belum cukup untuk merobek gawang lawan.




Namun, Syafiq memadam segala kesangsian terhadap kemampuannya itu apabila ledakan yang dilepaskan dari luar kotak penalti tidak mampu dijangkau oleh Muhaimin, 13 minit selepas rehat.

Ketua pasukan pasukan Hijau Kuning, Sony Norde, turut tidak ketinggalan untuk mencetak namanya selaku penjaring pada minit ke-73 dengan satu tolakan mudah, sekali gus melenyapkan segala sisa kebangkitan yang cuba diilhamkan seteru dari Pantai Timur tersebut.