Skip to main content

Bola Sepak

Kecemerlangan Goretzka tunjang kemenangan Bayern

leon-goretzka.jpg
HOFFENHEIM 1 BAYERN MUNICH 3

Leon Goretzka membuka pusingan kedua Bundesliga musim ini dengan cemerlang selepas membantu kemenangan 3-1 Bayern Munich ke atas Hoffenheim di Arena PreZero, awal pagi tadi.


Selepas memenangi lima perlawanan terakhir Bundesliga hujung tahun lalu, juara bertahan itu mengekalkan rentak sama dengan Goretzka meledak dua jaringan dalam tempoh 12 minit dalam babak pertama.

Hoffenheim, yang mahu mengekalkan rekod 10 perlawanan tanpa kalah, bagaimanapun, gagal mencorak kebangkitan walaupun Nico Schulz merapatkan jurang pada minit ke-59 ketika jurulatihnya, Julian Naglesmann, menempuhi perlawanan ke-100 berdepan pasukan divisyen utama Jerman.

Robert Lewandowski memastikan kemenangan Bayern menerusi jaringan pada tiga minit terakhir perlawanan untuk pasukannya mengecilkan kelebihan pendahulu liga, Borussia Dortmund, kepada tiga mata.

Bayern bermula baik dengan mengancam lawan menerusi gandingan Lewandowski dan Thomas Muller pada 20 minit pertama perlawanan.

Mats Hummels hampir memecah kebuntuan, namun dia gagal menewaskan penjaga gol Hoffenheim, Oliver Baumann, ketika situasi kelam-kabut dalam kawasan penalti lawan.

Goretzka kemudian memastikan dominasi itu berbaloi menerusi dua jaringan pantasnya.

Dia membuka akaun jaringan pada minit ke-34 selepas memanfaatkan percubaan awal Lewandowski sebelum menyudahkan hantaran tepat David Alaba pada penghujung separuh masa pertama.

Tuan rumah kembali memberikan ancaman dalam babak kedua menerusi percubaan awal Joelinton dan disusuli percubaan Kerem Demirbay yang tersasar.

Penjaga gol Bayern, Manuel Neuer, tidak diberikan peluang sama dalam percubaan berikutnya dengan pertahanan sayap lawan, Schulz, merembat kencang jaringan dari jarak 20 ela.

Hoffenheim terus memberi tekanan menerusi tandukan Adam Szalai yang dinafikan, namun Bayern mematikan usaha mereka itu menerusi jaringan lewat permainan Muller yang dibantu James Rodriguez. 

Advertisement

Must Watch Video