Skip to main content

Bola Sepak

Kane telah selamatkan karier saya -- Pochettino

harrykane-cropped_1l1y60pocttd01rfxa4wzha58m.jpg
Mauricio Pochettino yakin salah satu gol yang dijaringkan Harry Kane dalam kariernya untuk Tottenham telah menyelamatkan dirinya daripada dipecat.

Frank de Boer telah dipecat Cyrstal Palce minggu ini selepas hanya empat perlawanan dan pengendali kelahiran Argentina itu teringat kembali saat dia dikaitkan dengan senario sama ketika memasuki perlawanan ke-10 liga.

Spurs hanya mengutip 11 mata daripada sembilan perlawanan di bawah bekas pengendali Southampton itu pada 2014, dan Kane -- yang merupakan pemain pilihan kedua di belakang Roberto Soldado dan Emmanuel Adebayor -- meledak gol hasil sepakan percuma pada minit ke-90 untuk membantu kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa.

Sejak itu, Kane telah merangkul anugerah Kasut Emas dalam dua musim berturut-turut sementara Pochettino memastikan Spurs menamatkan saingan liga dalam kelompok tiga terbaik.

"Saya boleh bercakap tentang banyak gol lain yang menakjubkan tetapi bagi saya, gol berkait dengan emosi.

"Bagi saya, gol itu cukup mengagumkan kerana ia membawa makna besar buat kami.

"Kami tertekan kerana kami bermain baik tetapi gagal mencatat kemenangan.

"Dalam bola sepak, jika gagal mendapat keputusan memuaskan, anda akan dipecat. Gol Kane ketika itu membenarkan kami memandang ke hadapan."

Minggu lalu, Kane melakar gol ke-100 ketika berdepan Everton, diikuti dua gol yang dijaringkan berdepan Borussia Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara.

Pochettino memuji pemain itu yang kini menjadi contoh terbaik buat pemain lain.

"Pemain perlu dahagakan kejayaan," kata Pochettino.

"Kita memiliki ramai pemain contoh, antaranya Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan pemain seperti Harry Kane yang baru berusia 23 tahun."

 

Advertisement

Must Watch Video