Skip to main content

Bola Sepak

Kane pacu rekod tanpa kalah Spurs di bawah bimbingan Conte

harry-kane.jpg
TOTTENHAM HOTSPUR 3 CRYSTAL PALACE 0

Harry Kane meneruskan rekod jaringannya pada Boxing Day sewaktu Tottenham menewaskan 10 pemain Crystal Palace dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri lewat malam tadi.

Gol pantas daripada Kane dan Lucas Moura, masing-masing pada minit ke-32 dan 34 -- memastikan Spurs menguasai perlawanan itu, di mana Kapten England berkenaan menjaringkan gol dalam perlawanan Boxing Day buat kali keenam berturut-turut untuk menyamai rekod jaringan Robbie Fowler dengan sembilan gol pada hari selepas perayaan Krismas.

Wilfried Zaha kemudian diarahkan keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua menjelang waktu rehat dan Son Heung-min kemudian menambah jaringan Spurs pada minit ke-74 di Stadium Tottenham Hotspur.

Kemenangan itu menyaksikan Spurs mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan liga sejak ketibaan Antonio Conte selaku pengurus.

Mereka kini hanya ketinggalan enam mata dengan kelompok empat teratas dengan kelebihan tiga perlawanan dalam tangan.
 

Advertisement

Must Watch Video