LIGA PERDANA MSIA
Jelius guna formasi baharu hadapi Singa Utara
Pengendali Sabah, Jelius Ating, akan menggunakan formasi baharu ketika berdepan Perlis dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.
Katanya, beliau akan menggunakan formasi menyerang 3-5-2 berbanding 4-3-2-1, sebelum ini.
"Formasi sebelum ini bukannya tidak bagus, malah ia digunakan oleh banyak pasukan. Bagaimanapun, kami mahu memperkuatkan bahagian serangan dengan meletakkan dua penyerang di atas.
Iklan
"Kami juga telah mencuba formasi 3-5-2 ini dalam beberapa aksi persahabatan ketika saingan liga berehat panjang, baru-baru ini, dan saya harap pemain-pemain mampu terus menyesuaikan diri dengan corak baharu ini kerana jika tidak, kami akan mengubahnya lagi," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.
Jelius berkata dia akan membariskan pertahanan import, Francis Kasonde, bersama-sama dengan ketua pasukan, Rawilson Batuil dan Dendy Lowa, di bahagian pertahanan.
Sementara itu, Sabri Sahar, Heo Jaenyong dan Azzizan Nordin akan menggerakan bahagian tengah dengan dibantu dua pemain di posisi sayap, iaitu Jenius Karib dan Ummareng Bachok.
Dua penyerang import, Rodoljub Paunovic dan Lee Gil Hoon, pula akan menggalas tugas bagi memburu jaringan malam esok.
Dalam pada itu, Jelius berkata pasukan Sabah tetap dengan misi memburu kemenangan dalam aksi bertemu Singa Utara walaupun tiada apa lagi yang boleh dicapai mereka dalam saingan liga.
"Walaupun kami sudah terselamat daripada zon penyingkiran, namun saya tetap mahu melihat pemain bermain bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan.
"Kami mahu melihat sejauh mana pemain dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan baharu ini dan saya juga mahu melihat pemain terus menunjukkan peningkatan kerana kami juga sedang membuat persiapan untuk menghadapi musim depan," katanya.
Must-Watch Video