LIGA SUPER MSIA
JDT lebur rekod tanpa kalah KL City
KL CITY 0 JDT 3
Rekod 23 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri KL City FC lebur apabila tewas 3-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Melewati dua perlawanan liga sebelum ini menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak sekadar di tangga kelapan dan misi untuk meraih mata penuh menjadi sasaran ketika menerima kunjungan JDT di Cheras.
Iklan
Bagaimanapun segalanya serba tidak menjadi buat mereka apabila ketinggalan seawal minit ke-18, Fernando Forestieri menggunakan sebaik mungkin kesilapan benteng akhir KL City untuk meledak gol ketiga dalam tiga penampilan setakat ini.
Jaringan tersebut ternyata memberikan keyakinan buat anak buah Benjamin Mora apabila terus berusaha mendapatkan jaringan namun percubaan daripada Leandro dan Bergson da Silva gagal melanjutkan kelebihan pelawat.
KL City terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain apabila Kenny Pallraj dilayangkan kad kuning kedua sekaligus membuka jalan seluas-luasnya buat JDT mengawal rentak permainan.
Dua gol di lewat permainan yang disempurnakan Bergson memastikan JDT terus gah di persada Liga Super dengan sembilan mata sementara KL City jatuh ke tangga kesembilan.
Keputusan lain:
Kedah Darul Aman 1 Sri Pahang 0
PJ City 3 Terengganu FC 0
Must-Watch Video