Skip to main content

Bola Sepak

Jaringan saat-saat akhir beri Uzbekistan kemenangan

uzbek.jpg
UZBEKISTAN 2 OMAN 1

Eldor Shomurodov menjaringkan gol selepas dua minit dibawa masuk untuk membolehkan Uzbekistan menang 2-1 ke atas Oman dalam aksi pembukaan Kumpulan F, Piala Asia 2019 di Stadium Sharjah sebentar tadi dan memberikan pengurus, Hector Cuper, kemenangan pertama di peringkat kompetitif.


Sepakan percuma lencong Odil Ahmedov dalam babak pertama memberikan Uzbekistan pendahuluan tatkala penjaga gol, Ignatiy Nesterov, menampilkan beberapa aksi cemerlang di gawang.

Ketika kemenangan dilihat mampu menjadi milik Uzbekistan, Oman menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Muhsen Al Ghassani, pada minit ke-72 untuk memberi harapan buat pasukannya.

Namun, Shomurodov membuatkan lawan -- yang turun dengan status juara Piala Negara-Negara Teluk-- terpaku apabila menyumbat gol kemenangan buat Uzbekistan ketika aksi berbaki lima minit walaupun Egor Krimets diperintah keluar padang sebelum permainan tamat.

Dalam aksi di Sharjah itu, kesalahan ke atas Marat Bikmaev di luar kotak penalti membolehkan Ahmedov berpeluang memecah kebuntuan menerusi sepakan percuma dan dia menyempurnakannya dengan melencongkan bola melalui rembatan rendah melepasi benteng Oman sebelum menerjah penjuru kanan pintu gol Oman.

Nesterov mempamerkan aksi tangkas menafikan usaha sepakan voli Mohamed Al-Musallami sebelum rehat apabila pantas bangun menghalang tendangan pertahanan itu dengan kaki dan Oman terus memburu jaringan penyamaan sebaik sahaja babak kedua bermula.

Pengendali Oman, Pim Verbeek, membawa masuk Al Ghassani dan lima minit kemudian dia menyambut hantaran Ali Al-Busaidi, mengawal bola dengan kaki kanan dan melepaskan rembatan kaki kiri melepasi bawah badan Nesterov.

Penjaga gol Oman, Faiyz Al Rusheidi, yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan di saat-saat akhir, menghalang Dostonbek Khamdamov daripada meletakkan lawan di depan menerusi sepakan voli tetapi malang buat Oman ketika perlawanan berbaki lima minit.

Shomurodov pantas masuk ke dalam kotak penalti dan melakukan percubaan jarak dekat ke arah Al Rusheidi yang gagal menafikan usaha tersebut dan walaupun Krimets diarah keluar padang susulan kekasaran ke atas Al Ghassani, anak buah Cuper mengikut jejak Jepun yang meraih mata maksimum dalam aksi pertama Kumpulan F.

Advertisement

Must Watch Video