Jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah, mengakui kemelut yang melanda Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) membabitkan tunggakan gaji pemain merencatkan persiapan The City Boys untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2019.
"Sudah pasti perkara sebegini merencatkan sedikit perancangan pasukan.
"Namun, kita tahu bukan sahaja Kuala Lumpur, malah kebanyakkan pasukan lain juga menghadapi situasi yang sama, terutama pada awal musim.
"KLFA telah memaklumkan kepada kami bahawa sebarang masalah yang tercetus sebelum sepak mula akan diuruskan dengan baik dan saya percaya pihak pengurusan akan menjelaskan segala masalah yang timbul," katanya.
KLFA berdepan masalah kewangan apabila mendakwa ia berlaku berikutan isu penangguhan kongres persatuan itu sejak November lalu yang masih buntu.
Sementara itu, bekas jurulatih Kelantan itu mengakui kehilangan Syazwan Andik Ishak, kurang sebulan sebelum saingan Liga M bermula, cukup dirasai.
"Ia merencatkan sedikit perancangan saya memandangkan tinggal tiga minggu lagi sebelum sepak mula berdepan Pahang pada 1 Februari nanti.
"Dalam masa singkat ini, kecederaan pemain agak merimaskan saya.
"Tetapi, saya masih mempunyai calon lain bagi posisi tersebut (pertahanan kiri), iaitu Fitri Omar," katanya.
Penulis Jemputan
Sat Jan 12 2019