LIGA INGGERIS
Ibe mampu bangkit bersama kami -- Howe
Eddie Howe percaya gol kemenangan Jordon Ibe ketika berdepan Brighton and Hove Albion mampu menjadi penyuntik kepada kebangkitan pemain itu di Bournemouth.
Ibe dibawa masuk ketika Bournemouth ketinggalan 1-0 menerusi tandukan Solly March, namun bekas pemain Liverpool itu tampil membantu Andrew Surman dan Jermain Defoe melakar gol bagi mengesahkan kemenangan 2-1.
Ia merupakan bantuan jaringan pertama Ibe sejak meninggalkan Anfield dengan yuran perpindahan GBP15 juta (RM85 juta), musim lalu.
Iklan
Howe kini mahu pemain muda England itu mengulangi persembahan tersebut sepanjang saingan musim ini.
"Dia seorang pemain yang berbakat dan kami mengharapkan dia terus menampilkan aksi seperti ini," Howe memberitahu Sky Sports.
"Kami menyaksikan kemampuannya ketika sesi latihan. Dia mampu menewaskan pemain dalam ruang sempit dan hari ini dia membuktikannya.
"Ia satu permainan yang hebat dan saya harap ia bakal menjadi permulaan kepada kariernya. Dia memerlukan suntikan keyakinan kerana dia mampu membawa perbezaan."
Ibe hanya membuat satu penampilan dalam kesebelasan utama musim ini -- tewas kepada Watford bulan lalu -- tetapi gembira berjaya mencetuskan impak berkesan.
"Jika tidak membarisi kesebelasan utama, kamu perlu bersedia di bangku simpanan. Saya bernasib baik kerana peluang itu hadir dan membantu pasukan mengutip tiga mata," katanya.
"Jurulatih mahu saya cuba untuk menewaskan barisan pertahanan mereka, jadi saya teruja kerana dapat membantu dalam kemenangan ini."
Gol Defoe merupakan yang pertama dalam kariernya bersama Bournemouth dan secara tidak langsung menebus kepercayaan yang diberikan Howe yang menawarkan kontrak tiga tahun buat pemain veteran itu.
"Dia antara penyudah terbaik yang saya pernah lihat," Howe bercakap ketika sidang media pasca perlawanan.
"Sebagai satu pasukan, kami perlu tahu apa yang Jermain mahukan kerana dia pemain penyerang yang berbeza. Segala-galanya tentang menyediakan ruang untuknya menjaringkan gol."
Must-Watch Video