Bekas Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Hazwan Bakri, bersedia untuk melakukan kemunculan semula dalam kancah Liga Malaysia selepas berehat hampir lapan bulan gara-gara kecederaan lutut anterior cruciate ligament (ACL).

Penyerang yang mesra disapa dengan panggilan Jack itu meletakkan sasaran untuk kembali beraksi dalam masa terdekat, sekali gus mengintai peluang untuk menyertai mana-mana pasukan menjelang jendela perpindahan kedua bulan depan.

Hazwan mengalami kecederaan itu sewaktu aksi terakhir Liga Super di antara JDT dan Penang pada Disember tahun lalu.

Dia kemudian meneruskan proses pemulihannya di bawah jurulatih kecergasan, Khairulanwar Isa, di sebuah pusat fisioterapi dan rehab sukan di Shah Alam.

"Ketika ini saya masih melakukan pemulihan tetapi Insya Allah, bulan depan saya akan mencuba untuk kembali. Memang saya rancang (untuk kembali beraksi) dalam waktu terdekat ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Peluang itu bergantung kepada kondisi saya, kalau tidak sakit lagi, mungkin saya boleh kembali bermain.

"Rasa hendak bermain masih ada kerana saya sudah lama tidak turun ke padang dan tidak sepak bola. Memang amat rindu," katanya.