PIALA PRESIDEN
Hashim: Pertahankan modal jaringan
Ketua jurulatih Kelantan, Mohd Hashim Mustapha, mahu anak buahnya mempertahankan modal satu jaringan dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Presiden menentang Negeri Sembilan di Stadium Mini Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), petang ini.
Katanya, kelebihan satu gol ketika menang tipis di gelanggang sendiri minggu lalu akan dipertahankan dan sentiasa mengingatkan benteng pertahanannya tidak mudah leka sepanjang 90 minit perlawanan.
“Kami perlu pertahankan modal kelebihan satu gol. Cara yang paling berkesan ialah turun petang ini dengan semangat untuk menyerang dan mencari gol awal bagi memberi tekanan kepada tuan rumah.
Iklan
“Bagaimanapun, saya sedar kami tidak boleh terlalu ghairah menyerang kerana Negeri Sembilan juga sangat perlukan gol awal bagi memadamkan defisit jaringan Kelantan. Jadi, saya ingatkan barisan pertahanan jangan leka,” katanya.
Mohd Hashim juga menjelaskan skuad The President Wariors (TPW) bebas daripada sebarang kecederaan pemain dan bakal turun dengan kekuatan penuh untuk mengecewakan skuad kendalian Sazali Saidun itu buat kali kedua.
“Skuad ini tidak menghadapi sebarang masalah kecederaan dan semua pemain utama boleh diturunkan bagi memburu kemenangan mutlak, sekaligus mara ke separuh akhir,” katanya.
Untuk rekod, skuad TPW adalah juara musim 2015 dan 2016.
Must-Watch Video