Skip to main content

Bola Sepak

Hashim: Penyerang tempatan perlu lakukan latihan tambahan

hashim-mustapha.jpg
Pemain tempatan, khususnya penyerang, perlu menjalani latihan tambahan bagi membantu meningkatkan prestasi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini untuk bersaing dengan pemain import.

Bekas penyerang kebangsaan, Mohd Hashim Mustapha, berkata sebagai bekas pemain dan jurulatih, beliau melihat sikap malas melakukan ‘kerja tambahan’ menjadi punca penyerang tempatan tidak berkualiti untuk memberikan cabaran kepada pemain import.

"Sikap itu memberikan impak negatif kepada pasukan kebangsaan dan perkara tersebut sudah terbukti berlaku dalam saingan Piala AFF 2018 serta kejohanan-kejohanan lain.

"Pemain perlu segera mengatasi sikap itu sekiranya mereka mahu karier sebagai pemain bola sepak dapat bertahan lama," katanya ketika ditemui, hari ini.

Untuk rekod, Hashim pernah meraih anugerah kasut emas Divisyen 2 pada tahun 1990 selepas meledakkan 15 gol.

 Tiga tahun kemudian, Hashim muncul penjaring terbanyak Liga M setelah mendahului  pencabar terdekat ketika itu, Jose Iriarte (Negeri Sembilan), dengan 13 gol. 

Malah, pada 1994, bekas pemain Kelantan itu berjaya menjaringkan 30 gol dalam semusim dan rekod itu terus kekal tanpa mampu dicabar penyerang import mahupun tempatan.

Hashim, yang kini ditugaskan membimbing pasukan untuk skuad Piala Presiden The Red Warriors (TRW), berkata kedudukan penyerang tempatan untuk beraksi semakin terhad berikutan minat kebanyakan pasukan mendapatkan khidmat dua pemain import.

"Ia situasi yang perlu dilalui. Sehubungan itu, untuk merebut tempat dalam pasukan, lengkapi diri dengan skil lebih baik.

"Selepas tamat sesi latihan bersama pasukan, pemain boleh melakukan latihan tambahan bersendirian seperti sepakan percuma, menjaringkan gol, mempertingkatkan latihan kawalan bola dan sebagainya," katanya.

Selain itu, pemain juga perlu mempunyai sasaran sepanjang musim untuk menjaringkan gol tidak kira pasukan menang atau kalah.

"Sebagai penyerang, setiap kali perlawanan, mesti ada sasaran untuk menjaringkan gol kerana itu adalah tanggungjawab mereka," katanya.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video