LIGA INGGERIS
Hanya satu pasukan cuba untuk menang -- Mourinho
Jose Mourinho percaya "hanya satu pasukan cuba untuk menang" selepas Manchester United melepaskan banyak peluang ketika seri 2-2 dengan Stoke City, semalam.
United berada di landasan tepat untuk melakar kemenangan di Stadium Bet365 apabila Romelu Lukaku meletakkan United di hadapan selepas menambah jaringan Marcus Rashford.
Namun, Eric Maxim Choupo-Moting muncul sebagai penyelamat pasukan tuan rumah, dengan menjaringkan kedua-dua gol bagi memastikan The Potters meraih satu mata.
Iklan
Lukaku berpeluang untuk menambah jaringan di penghujung perlawanan tetapi gagal untuk menyempurnakannya dan situasi itu amat menjengkelkan Mourinho.
"Saya tidak berpuas hati dengan satu mata kerana pasukan kami hampir untuk memenangi perlawanan, saya perlu menerima keputusan ini," kata Mourinho.
"Hanya satu pasukan berusaha untuk menang, satu pasukan lagi berusaha untuk meraih satu mata tetapi mereka telah memberikan yang terbaik untuk keputusan tersebut. Mereka bertahan dengan baik, melancarkan serangan balas dan cemerlang menerusi percubaan sepakan percuma.
"Ia merupakan satu perlawanan yang sukar. Pemain-pemain saya, selepas perlawanan antarabangsa, mereka tidak lagi sama.
"Mereka tidak berada pada tahap terbaik. Kami telah berusaha dan hampir tewas dalam perlawanan ini.
"Stoke memiliki kelebihan daripada segi fizikal, mereka telah berusaha untuk meraih satu mata."
Must-Watch Video