Erling Haaland meletakkan 'kepercayaan penuh' kepada 'pengurus terbaik dunia', Pep Guardiola, untuk mengembalikan Manchester City ke landasan yang betul menentang Tottenham dalam Liga Perdana Inggeris malam ini.

Skuad kendalian Guardiola itu telah tewas empat perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan, yang merupakan kekalahan paling lama di bawah pimpinan pengendali Sepanyol itu sepanjang karier pengurusannya.

Kali terakhir The Citizens kalah berturut-turut antara Mac dan April 2006 di bawah Stuart Pearce (enam -- perlawanan kelima yang juga menentang Tottenham).

Tetapi selepas menandatangani lanjutan kontrak baru dua tahun di kelab itu awal minggu ini, Guardiola meletakkan semula sasaran untuk kembali menemui rentak kemenangan.

Dan Haaland, yang telah menjaringkan 105 gol dalam 114 penampilan di bawah kendalian Guardiola di City, percaya mereka boleh mengatasi jurang dengan pendahulu Liverpool, yang berada di hadapan lima mata.

"Apabila anda melihat apa yang dia lakukan untuk kelab, dia tidaklah begitu teruk, bukan? Jadi dia mendapat kepercayaan penuh saya," kata Haaland kepada Sky Sports.

"Dan jika dia memberitahu saya sesuatu, lebih baik saya melakukannya kerana dia tahu apa yang terbaik. Semua orang mengetahuinya. Jadi saya pasti dia akan mencari penyelesaian sekarang juga. Saya yakin.

"[Guardiola] menuntut kami untuk menjadi yang terbaik dalam setiap sesi latihan, dalam setiap perlawanan. Dan itulah yang perlu kami lakukan. Ia belum cukup bagus, tewas empat perlawanan sekarang, tetapi mari kita cuba untuk memenangi perlawanan seterusnya."