Pemain berjersi nombor sembilan City itu yang masih mempunyai kotrak hingga 2027, memilih untuk memperbaharui perjanjian berkenaan demi kekal di Stadium Etihad hingga 2034.
Haaland telah meledak 111 gol dalam hanya 126 penampilan sejak menyertai kelab itu daripada Borussia Dortmund pada Jun 2022 dan membantu mereka memenangi dua kejuaraan EPL, Liga Juara-Juara (UCL) serta Piala FA.
Pemain antarabangsa Norway itu turut sempat memecahkan beberapa rekod untuk The Citizens.
Antaranya menjaringkan jumlah gol tertinggi dalam semusim liga (36 pada 2022-23), termasuk muncul pemain terpantas yang mencapai 50 gol pada November 2023 (48 perlawanan).
Dan Guardiola gembira melihat penggempur berusia 24 tahun itu memuktamadkan masa depan yang panjang bersama City.
"Dia mahu membuktikan betapa dia mahu berada di sini, jika tidak semua pemain akan menandatangani kontrak setahun dua," kata pengurus itu.
Born to be blue 🩵 pic.twitter.com/cMW3drdQUE
— Manchester City (@ManCity) January 17, 2025
“Dalam tempoh 10 tahun, banyak perkara boleh berlaku tetapi ia adalah bukti kepercayaan di antara dia dan kelab.
"Dia menyayangi kelab dan orang di sekelilingnya. Dia menyayangi EPL dan tinggal di sini bersama keluarganya.
"Dia semestinya berasakan tiada tempat yang lebih baik untuknya dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"Kita tidak pernah akan tahu apa yang mungkin berlaku pada tahun-tahun akan datang, namun kelab tahu betapa profesionalnya dia untuk menunjukkan bakatnya pada setiap hari.
"Itu adalah apa yang dimahukannya dan ia bergantung kepada kepercayaan kelab.
"Jika dia meneruskan prestasinya seperti sejak dia tiba, maka dia mampu memecahkan lebih banyak rekod.
"Ia bergantung kepada pasukan dan dia sendiri tetapi perjanjian baru ini adalah satu berita yang luar biasa buat kelab."