VILLA 2 MAN CITY 1

Erling Haaland menegaskan bahawa barisan pemain Manchester City masih menaruh kepercayaan terhadap Pep Guardiola di sebalik kemerosotan prestasi kebelakangan ini.


Jhon Duran dan Morgan Rogers berhasil merobek gawang pelawat sementara gol lewat Phil Foden sekadar sagu hati ketika City tewas 1-2 kepada Aston Villa, malam tadi.

Ia menandakan kekalahan kesembilan mereka dalam tempoh 12 perlawanan.



Buat pertama kali di bawah kendalian Guardiola, The Citizens kemarau kemenangan di tempat lawan dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) berturut-turut.

Buat kali ketiga berturut-turut, Haaland gagal menemui sentuhan penyudah selain bergelut untuk mendapatkan umpanan menarik di Villa Park apabila hanya sekali melancarkan rembatan -- itu pun tersasar -- dan satu sentuhan di dalam kotak penalti lawan yang hadir masa kecederaan.

Ditanya mengenai kepercayaan rakan sepasukannya terhadap Guardiola, penyerang memberitahu TNT Sports: "Dia memenangi enam gelaran EPL dalam tempoh tujuh tahun, jad kami tidak akan melupakannya.

"Dia akan mencari penyelesaiannya. Dia telah melakukannya saban tahun.

"Kami masih percayakannya; sekarang kami perlu bekerja lebih keras daripada sebelumnya."