LALIGA
Guangzhou perlu lebih fleksibel
Pemain tengah Brazil, Paulinho, menuntut agar kelabnya, Guangzhou Evergrande Taobao, memudahkan urusan perpindahannya ke gergasi Sepanyol, Barcelona.
Paulinho mendedahkan Barca telah melakukan bidaan pada bulan lalu bernilai EUR20 juta (RM98 juta) namun juara Liga Super China itu telah menolak tawaran tersebut sambil menjelaskan klausa perpindahan pemain tengah itu bernilai EUR40 juta (RM196 juta).
Selepas cubaan mendapatkan pemain Brazil itu gagal, Barca dilihat cuba mendapatkan pemain Itali, Marco Verratti, dari Paris Saint-Germain (PSG), namun Paulinho berharap agar majikannya mengubah pendirian.
Iklan
“Saya agak terkejut kerana Guangzhou tidak memberikan reaksi kepada Barca dan kini timbul isu mereka menolak bidaan yang dilakukan.
“Buat masa sekarang, saya tidak dapat berjumpa dengan presiden kerana kini berada di Beijing, namun saya berharap jika Barca membuka bidaan, pihak Guangzhou akan lebih fleksibel dan perjanjian dapat dimeterai,” ujarnya.
Paulinho dilihat tertarik dengan penstrukturan semula di Camp Nou dan menyifatkan saingan dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) memberikan seribu makna buatnya berbanding wang yang banyak.
“China kini adalah lembah kekayaan, namun jika Barca datang dengan kontrak yang lebih rendah berbanding di sini, ia tidak menjadi masalah kerana saya akan berpeluang untuk bersaing dengan pasukan hebat Eropah yang lain serta pemain-pemain yang berkualiti,” ujar Paulinho.
Must-Watch Video