Skip to main content

Bola Sepak

Gol di tempat lawan bantu Girona perangkap Atletico

girona.jpg
ATLETICO MADRID 3 GIRONA 3 
(Girona mara menerusi peraturan gol di tempat lawan dengan agregat 4-4) 

Diego Simeone enggan membincangkan prospek Atletico Madrid akan menandatangani Alvaro Morata selepas tersingkir daripada Kejohanan Copa del Rey.


Morata dilaporkan hampir menyertai Atletico setelah mendapat sokongan Chelsea yang cuba membawa masuk Gonzalo Higuain.

Atletico kehilangan khidmat Diego Costa yang menjalani pembedahan kaki dan Morata dijangka akan kembali ke ibu kota Sepanyol itu selepas pernah mewakili Real Madrid.

Penyerang, Antoine Griezmann dan Nikola Kalinic, menemui sentuhan penyudah dalam aksi yang berkesudahan 3-3 dengan Girona di laman sendiri, awal pagi tadi, yang menyaksikan lawan mereka itu mara menerusi peraturan jaringan di tempat lawan selepas terikat secara agregat 4-4.

Tetapi Simeone enggan bercakap mengenai spekulasi perpindahan terkini yang melibatkan Morata ketika menghadiri sidang berita pasca perlawanan.

"Kami tidak akan bercakap mengenai Morata kerana dia tidak bersama kami," katanya.

"Kami memahami bahawa sejak awal perlawanan lagi, kami akan menaruh harapan kepada (Thomas) Lemar dan Kalinic kerana ingin merehatkan Griezmann.

"Dalam, babak kedua (Griezmann) dimasukkan dan menjadikan kedudukan 3-2."

Berikutan keputusan itu, Atletico tersingkir dalam pusingan 16 Copa del Rey buat julung kalinya sejak dikendalikan Simeone.

"Ia perlawanan yang indah, satu perlawanan klasik merebut piala," kata Simeone. "Kami sentiasa berhasrat untuk menang.

"Kami menyumbat jaringan awal dan memiliki peluang untuk melebarkan kelebihan. Keadaan fizikal Girona adalah kekuatan utama mereka.

"Tahniah buat Girona -- kami telah memberikan segala-galanya, kami sentiasa ingin cuba bangkit, namun kedudukan 3-3 menjejaskan kami. 

"Saya ingin berkata kepada peminat tentang apa yang mereka telah saksikan: Kami telah mencurahkan segala kudrat. Kami sentiasa mendambakan kemenangan. 

"Adakalanya anda bermain dengan baik tetapi gagal meneruskan kemaraan. Saya lebih suka kami mempamerkan aksi buruk tetapi tetap mara." 

 

Advertisement

Must Watch Video