UCL
Gol awal beri City keyakinan
FEYENOORD 0 MANCHESTER CITY 4
Ketua jurulatih Feyenoord, Giovanni van Bronckhorst, berkata pasukannya gagal bangkit selepas dibolosi seawal 95 saat dalam pertemuan Kumpulan F, Liga Juara Juara apabila tumbang 4-0 kepada Manchester City, awal pagi tadi.
Gol awal John Stones mencetuskan kehangatan perlawanan di De Kuip manakala gandingan Sergio Aguero dan Gabriel Jesus terus menghukum tuan rumah dalam tempoh setengah jam permainan.
Iklan
Pertahanan tengah England, Stones, sekali lagi menanduk masuk untuk gol keempat dan meskipun juara Belanda itu cuba mempamerkan semangat juang pada babak berikutnya, namun ia sudah terlambat.
"Selepas gol awal tersebut, City semakin yakin dan kami pula bergelut untuk menyaingi corak pantas mereka," kata Van Bronckhorst.
"Kami menukar sistem permainan pada separuh masa kedua. Kami mahu menguasai bola tetapi adalah sukar untuk berdepan dengan mereka.
"City merupakan salah sebuah pasukan terbaik di dunia, kami perlukan tuah untuk mengalahkan mereka dan kami tidak memilikinya."
Ketua pasukan, Karim El Ahmadi, turut bersependapat dan mengakui wujud elemen gementar susulan Feyenoord kembali ke pentas Liga Juara-Juara selepas 15 tahun.
"Kami begitu kecewa," katanya dalam UEFA.com.
"Kami perlu realistik bahawa Manchester City adalah pasukan yang jauh lebih hebat daripada kami.
"Gol pertama itu sangat mudah dan ia terlalu awal. Jika kami dapat mengekalkan kedudukan 0-0 dalam tempoh yang lama, mungkin keyakinan kami akan meningkat.
"Namun, ekoran dibolosi awal, anda boleh lihat kami gentar untuk mempamerkan rentak sebenar.
"Gol mereka daripada sepakan penjuru merupakan kelemahan kami."
Must-Watch Video